Friday, 30 May 2014

Membangun Pemikiran Islam Dalam Menghadapi Cabaran Zaman


Judul Membangun Pemikiran Islam Dalam Menghadapi Cabaran Zaman

Pengarang : Mohd Rumaizuddin Ghazali

Penerbit : Universiti Sains Islam Malaysia

Tahun Terbit : 2011

No. ISBN : 978-967-5295-59-1






Ulasan :

Melihatkan pada tajuknya sahaja, pembaca mungkin boleh membuat tekaan bahawa isi kandungan buku ini adalah berkisar tentang ilmu dan cara berfikir menurut ajaran Islam. Selain mengupas tentang sejarah tamadun Islam, penulis juga mengutarakan peranan setiap Muslim dalam proses penyebaran ilmu terutamanya graduan Universiti Al-Azhar.

Karya ini mampu menjadi pemangkin kepada pembaharuan sistem pendidikan di Malaysia iaitu dengan menerapkan nilai-nilai agama sekaligus memperkasa gerakan dakwah dan mengutamakan maslahah ummah. Seiring dengan itu, umat Islam harus memberi perhatian kepada Syariat Islam dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup yang utama.

Para pembaca amat digalakkan untuk mempraktikkan adab dan akhlak terpuji yang telah digariskan dalam Islam. Tanpa kita sedari, perlakuan sosial memberikan impak yang besar terhadap ketamadunan sesebuah negara. Di samping itu, buku ini juga memaparkan elemen-elemen penting bagi pembentukan sesebuah negara yang sejajar dengan ajaran Islam sama ada dari segi perpaduan ummah, sistem perundangan mahupun sistem pentadbiran negara tersebut.

(140 patah perkataan)





Carian : Pertandingan Ulasan Buku, Terbitan Penerbit USIM, Sambutan Hari Buku Sedunia 2014

Thursday, 29 May 2014

Pengurusan Akidah Dalam Kehidupan Muslim


Judul Pengurusan Akidah Dalam Kehidupan Muslim

Pengarang : Mohd Radhi Ibrahim

Penerbit : Universiti Sains Islam Malaysia

Tahun Terbit : 2013

No. ISBN : 978-967-0393-77-3





Ulasan :

Akidah memainkan peranan yang penting dalam menentukan tahap keimanan seorang manusia terhadap Allah selain mendepani keraguan daripada musuh Islam. Oleh yang demikian, pengurusan akidah dalam jiwa perlu diambil secara serius dan tidak boleh dipandang remeh.

Buku yang ditulis oleh Profesor Madya di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia ini amat sesuai dibaca oleh semua golongan kerana gaya bahasanya yang mudah difahami dalam masa yang sama mempunyai isi kandungan yang mantap.

Selain mengetengahkan objektif dan kepentingan pengajian akidah, penulis tidak lupa untuk mengambil pedoman daripada Al-Quran dan Sunnah serta sejarah zaman Nabi saw. Pembaca juga akan memperoleh ilmu tentang permasalahan akidah yang berlaku sejak berkurun lamanya terutamnya berkaitan aliran pemikiran dan mazhab akidah yang jelas menyimpang jauh daripada ajaran Islam. Pengukuhan akidah juga boleh dilakukan melalui beberapa cara seperti solat dan berfikir tentang kekuasaan Allah swt.

(126 patah perkataan)




Carian : Pertandingan Ulasan Buku, Terbitan Penerbit USIM, Sambutan Hari Buku Sedunia 2014

Mengenali Bahasa Arab Melalui Al-Quran


Judul : Mengenali Bahasa Arab Melalui Al-Quran

Pengarang : Lubna Abd. Rahman, Arnida A. Bakar, Wan Azura Wan Ahmad

Penerbit : Universiti Sains Islam Malaysia

Tahun Terbit : 2008

No. ISBN : 978-983-2950-73-8







Ulasan buku :


Dewasa ini, rakyat Malaysia dilihat semakin ramai yang mempunyai kemahiran memahami dan bertutur dalam bahasa Arab. Kemahiran ini amatlah dituntut terutamanya bagi seorang Muslim yang mempunyai kitab pedoman berbahasa Arab juga melaksanakan ibadah dalam bahasa tersebut.

Buku ini menonjolkan keunikan dan keindahan bahasa Arab melalui al-Quran. Menceritakan sedikit sebanyak tentang keistimewaan bahasa Arab dari pelbagai aspek, pembaca pastinya akan tertarik dengan keunikan susunan al-Quran itu sendiri.

Penulis juga cuba mencari sebanyak mungkin perkaitan antara bahasa Arab dan kitab suci al-Quran. Hubung kait ini telah berjaya dibuktikan oleh beberapa ayat yang termaktub dalam al-Quran. Tambahan pula, buku ini menceritakan betapa al-Quran mempunyai unsur bahasa Arab yang tinggi terutamanya dari segi tatabahasa dan gaya bahasa yang digunakan oleh Arab moden masa kini.

(118 patah perkataan)





Carian : Pertandingan Ulasan Buku, Terbitan Penerbit USIM, Sambutan Hari Buku Sedunia 2014