Thursday, 11 April 2013

Pesanan Umum RASULULLAH

Bismillahirrahmanirrahim..



"Wahai TUHAN kami..
janganlah KAU mengirakan kami salah jika
kami lupa atau kami tersalah.

Wahai TUHAN kami..
janganlah KAU bebankan kepada kami
bebanan yang berat sebagaimana
telah KAU bebankan kepada
orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai TUHAN kami..
janganlah KAU bebankan kami apa yang kami
tidak terdaya memikulnya.
Dan maafkanlah kesalahan kami,
ampunkanlah dosa kami
dan berilah rahmat kepada kami."








      Entry kali ini ku kira special sangat-sangat sebab terkesan dengan peringatan daripada emakku. Aku cukup cemburu melihatkan kelebihan emak dalam mengisi kehidupannya sehari-hari. Mana tidaknya, dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, emak dan kadang-kadang sebagai nenek (bila cucu-cucu pulang ke kampung), dia masih sempat melakukan ibadah-ibadah sunat, ke kelas-kelas agama dan bangun tahajjud setiap malam.

      Justeru, aku suka untuk berkongsikan pesanan Rasulullah s.a.w. yang amat berguna untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Antara perkara yang wajar kita ambil perhatian:



1. Menyebut nama ALLAH sebelum fajar dan sebelum terbit matahari.

2. Apabila selesai sembahyang subuh, duduklah sehingga matahari terbit. Sesungguhnya ALLAH akan menulis pahala yang besar bagi mereka yang melakukan perkara ini.

3. Biasakan diri berdoa antara azan dan iqamat. Doa pada waktu itu tidak akan ditolak.

4. Hamba paling dicintai ALLAH ialah orang yang sujud sambil berdoa dalam sujudnya, "Ya ALLAH, aku telah menzalimi diriku, KAU ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada siapa yang mengampuni dosaku melainkan ENGKAU."

5. Sembahyanglah pada tengah malam walau sekadar memerah susu kambing. Sesungguhnya orang yang bersembahyang pada tengah malam itu akan sentiasa dikasihi oleh ALLAH.

6. Sesungguhnya para malaikat akan memohon keampunan bagi manusia selagi berada dalam kesucian dan tidak berhadas.

7. Lazimkanlah diri dengan solat secara berjemaah kerana di sisi ALLAH pahalanya 27 kali ganda solat seorang seorang diri. ALLAH s.w.t. amat mencintai orang mukmin yang beristiqamah dalam melakukan solat jemaah.

8. Orang yang bersyukur dengan nikmat yang ALLAH berikan sabar dengan dugaan yang ditimpakan oleh ALLAH ke atasnya dan selalu memohon keampunan ALLAH apabila melakukan kesalahan, maka dia akan masuk syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendakinya.

9. Sesiapa yang membaca surah al-Mulk dan surah al-Sajdah sebelum terlena, maka surah tersebut akan menjadi penemannya di dalam kubur kelak.

10. Berilah salam kepada sesiapa sahaja yang engkau temui, maka ALLAH akan menuliskan bagimu 20 kebajikan dan jika menyambut salam, ALLAH akan tuliskan 40 kebajikan.

11. Banyakkan berpuasa sunat seperti puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa pada hari-hari tertentu seperti Hari Arafah, puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa nabi Daud, iaitu puasa sehari dan tidak berpuasa satu hari dan sebagainya. Sesungguhnya orang yang rajin berpuasa ini, ALLAH menjanjikan buat mereka syurga yang dinamakan al-Rayyan sebagai balasan terhadap kelaparan dan dahaga yang mereka tanggung semasa di dunia semata-mata kerana mencari redha ILAHI.

12. Rebutlah pahala pada bulan Ramadan dengan berpuasa pada siang harinya dan bersolat sunat tarawih pada malam harinya dan mempergiatkan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan. Pada masa itulah terdapat satu malam di mana ia lebih baik daripada 1000 bulan.



      Demikianlah antara pesanan Rasulullah s.a.w. kepada umatnya. Baginda sendiri tidak putus-putus beribadat walaupun telah dijanjikan syurga.

[Dipetik daripada buku: '100 Pesanan Terakhir RASULULLAH'  Pengarang: Muhd Nasruddin Dasuki]



No comments:

Post a Comment